Mazhab-mazhab
fiqh Islam yang empat iaitu Maliki, Hanafi, Shafi‘e dan Hanbali hanya muncul
dan lahir secara jelas pada era pemerintahan Dinasti Abbasid, iaitu sejak kurun
ke 2H/8M. Sejarah kemunculan dan perkembangannya boleh dilihat dalam 4
peringkat, iaitu:
1. Pada era Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam dan para Khalifah al-Rashidun
yang empat.
2. Pada era Pemerintahan Dinasti Umayyad dan Abbasid
di mana pada ketika inilah mazhab-mazhab Islam mula muncul dan berkembang.
3. Pada era kejatuhan Islam, iaitu mulai kurun ke
4H/10M di mana mazhab-mazhab Islam tidak lagi berperanan sebagai sumber ilmu
kepada umat tetapi hanya tinggal sebagai sesuatu yang diikuti dan diterima
secara mutlak.
4. Era kebangkitan semula Islam dan ilmu-ilmunya sama
ada dalam konteks mazhab atau ijtihad ulama’ mutakhir.
Era Pertama
Era ini bermula sejak
diutusnya Muhammad ibn Abdillah menjadi seorang Rasul Allah dan mengembangkan
agama tauhid yang baru, iaitu Islam. Pada ketika ini sumber syari‘at adalah
penurunan wahyu berupa al-Qur’an al-Karim dan tunjuk ajar Rasulullah shallallahu
'alaihi wasallam. Al-Qur’an diturunkan secara berperingkat-peringkat
bertujuan memudahkan umat menerima dan belajar secara bertahap.
Kemudahan
mereka mempelajari Islam disokong oleh kehadiran Rasulullah shallallahu
'alaihi wasallam yang bertindak sebagai guru. Ini sebagaimana dikhabarkan
oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala di
dalam al-Qur’an:
(Sebagaimana) Kami mengutuskan
kepada kamu seorang Rasul dari kalangan kamu (iaitu Muhammad), yang membacakan
ayat-ayat Kami kepada kamu, dan membersihkan kamu (dari amalan syirik dan
maksiat), dan yang mengajarkan kamu kandungan Kitab (Al-Quran) serta Hikmah
kebijaksanaan, dan mengajarkan kamu apa yang belum kamu ketahui.
[al-Baqarah 2:151]
Di
samping itu sumber syari‘at kedua adalah juga merupakan pengajaran Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam yang kini
kita terima sebagai Hadis. Hadis beliau adalah juga merupakan wahyu Allah Subhanahu wa Ta‘ala, sebagaimana
firman-Nya:
Dan dia tidak memperkatakan
(sesuatu yang berhubung dengan agama Islam) menurut kemahuan dan pendapatnya
sendiri. Segala yang diperkatakannya itu (sama ada Al-Quran atau hadis) tidak
lain hanyalah wahyu yang diwahyukan kepadanya.
[al-Najm 53:3-4]
Perbuatan
Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam
dalam konteks keagamaan juga merupakan salah satu bentuk tunjuk ajar wahyu
Allah Subhanahu wa Ta‘ala,
sebagaimana firman-Nya:
Aku tidak melakukan sesuatu
melainkan menurut apa yang diwahyukan kepadaku.
[al-Ahqaf 46:09]
Rasulullah
shallallahu ‘alaihi wasallam juga
bertindak sebagai seorang guru agama yang membetulkan apa-apa perbuatan umat
pada ketika itu yang salah atau kurang baik walaupun beliau pada asalnya tidak
ditanya akan hal tersebut. Contohnya ialah kisah yang diberitakan oleh seorang
sahabat, Abu Hurairah radhiallahu ‘anh:
Aku
bertemu dengan Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam di salah satu jalan di
Madinah, sedangkan aku dalam keadaan berjunub. Maka aku menyelinap iaitu
mengelakkan diri dari bertemu dengan Rasulullah dan pergi untuk mandi sehingga
Rasulullah mencari-cari aku.
Ketika aku datang kembali,
baginda pun bertanya: “Ke mana kamu pergi wahai Abu Hurairah ?” Aku menjawab:
“Wahai Rasulullah! Engkau ingin menemuiku sedangkan aku dalam keadaan berjunub.
Aku merasa tidak selesa duduk bersama kamu sebelum aku mandi.”
Lalu Rasulullah shallallahu
‘alaihi wasallam bersabda:
“Maha Suci Allah! Sesungguhnya
orang mukmin itu tidak najis.”
Daripada
keterangan di atas, dapat kita simpulkan bahawa sumber syari‘at atau fiqh Islam
pada era pertama ini hanyalah apa yang bersumber daripada ajaran al-Qur’an dan
al-Sunnah Rasulullah shallallahu ‘alaihi
wasallam yakni ajaran, perbuatan dan persetujuan beliau. Pada ketika ini
fiqh Islam mudah dipelajari dan sebarang kemusykilan mudah terjawab dengan
hadirnya seorang Rasul yang mengajar terus berdasarkan wahyu Allah ‘Azza wa
Jalla.
Selepas
kewafatan Rasulullah shallallahu ‘alaihi
wasallam pada tahun 10H/622M, para Khalifah al-Rashidun iaitu Abu
Bakar al-Siddiq, Umar bin al-Khaththab, ‘Utsman bin ‘Affan dan ‘Ali bin Abi
Thalib radhiallahu ‘anhum mengambil-alih sebagai pemimpin agama dan
negara. Islam dan segala ajaran syari‘atnya telahpun lengkap dengan kewafatan
Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam.
Para Khalifah al-Rashidun meneruskan tradisi pimpinan dan pengajaran
Islam sebagaimana yang ditunjukkan oleh Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam, iaitu berlandaskan kepada ajaran
al-Qur’an dan al-Sunnah. Hanya wujud satu perbezaan yang besar pada ketika ini,
iaitu wahyu tidak lagi diturunkan.
Dalam era
empat khalifah ini, sempadan-sempadan Islam sudah mula meluas ke arah
wilayah-wilayah yang baru. Dengan pembukaan ini, para khalifah Islam
sekali-sekala terpaksa berhadapan dengan persoalan-persoalan yang belum pernah
dihadapi sebelum ini yang melibatkan hal-hal muamalah seperti
ekonomi, hartanah dan sebagainya. Bagi mencari jalan penyelesaiannya, para
khalifah akan duduk berbicara dengan para sahabat (Shura) bagi memperoleh satu
jawapan majoriti yang paling dekat dengan ketentuan al-Qur'an dan al-Sunnah.
Ibn Hazm (456H) rahimahullah
meriwayatkan dari Maimun bin Mehram, kata beliau:
Abu Bakar al-Siddiq, apabila datang orang-orang
yang berperkara kepadanya, beliau akan mencari hukumnya dalam Kitabullah (al-Qur'an), maka
beliaupun memutuskan perkara itu dengan ketetapan al-Qur'an. Jika tidak ada
dalam al-Qur'an dan beliau mengetahui sunnah Rasulullah dalam perkara itu, maka
beliaupun memutuskan perkara itu dengan ia. Jika tidak ada sunnah pada perkara
itu, beliaupun akan bertanya kepada para sahabat.
Abu Bakar akan berkata: “Telah datang kepadaku
suatu perkara, maka adakah kalian mengetahui hukum yang Rasulullah berikan
terhadapnya ?” Kadang-kadang berkumpullah beberapa orang sahabat di hadapannya
memberitahu apa yang pernah diputuskan oleh Rasulullah shallallahu
‘alaihi wasallam.
Dan jika Abu Bakar masih tidak menemui sesuatu
sunnah Rasulullah dari orang-orang yang ditanyakan itu, maka beliau akan
mengumpulkan tokoh-tokoh sahabat dalam majlis Shura lalu bertanyakan
pendapat mereka. Dan jika pendapat mereka bersatu atas yang satu (semua setuju)
iaitu ijma' , maka beliaupun akan memutuskan atas ketentuan hasil ijma' itu.
Dan
Umar al-Khaththab berbuat demikian juga.
Pada
ketika ini, para sahabat kebanyakannya masih berada di sekitar Kota Madinah.
Oleh itu tidaklah menjadi kesukaran untuk berbincang sesama mereka. Faktor ini
memudahkan fiqh Islam berjalan dengan lancar dan selari tanpa wujud apa-apa
mazhab atau jalan pandangan yang lain. Suasana fiqh Islam berada dalam keadaan
yang tulen, penuh keseragaman dan bersatu sebagaimana yang wujud sebelum ini
hasil kefahaman dan konsep saling bertolak ansur yang wujud di kalangan para
sahabat dan pemimpin mereka.
Dalam era
ini, tidak wujud sebarang mazhab melainkan apa yang disyari‘atkan oleh
al-Qur’an, diajar oleh Rasulullah shallallahu
‘alaihi wasallam dan ijma’ para Khalifah serta sahabat radhiallahu
‘anhum.
Sumber : Pedoman Bermazhab : Kapten Hafiz Firdaus










